Sunday, November 21, 2010

PENGALAMAN 6 BULAN MEMPROMOSI EMAS

Salam buat pembaca semua...

Bulan ini genaplah 6 bulan saya melibatkan diri secara serius mempromosikan EMAS kepada keluarga dan rakan terdekat. Macam tak percaya juga bila mengenangkan saya boleh buat satu perkara yang saya sangka hampir mustahil saya boleh lakukan selama ini iaitu mempromosi barang kepada orang lain.

Sebenarnya saya promosi EMAS bukanlah untuk tujuan peribadi atau untuk jana pendapatan. Saya mempromosi EMAS bertujuan mendidik dan memberi kesedaran kepada orang ramai tentang ciri-ciri keistimewaan dan kehebatan logam bernama EMAS. Disamping saya ingin mendidik orang ramai agar memilih pelaburan yang selamat lagi menguntungkan, saya juga berkesempatan menyampaikan kesedaran tentang salah satu sunnah Nabi yang telah ditinggalkan (dan akan kembali di akhir zaman seperti yang nabi sebutkan dalam hadis riwayat Imam Ahmad Ibn Hanbal) dan sumber kekuatan tamadun Islam dahulu memalui kuasa DINAR. Setiap kali saya bercerita tentang EMAS, saya gunakan semua ilmu dan bahan dimiliki agar mereka menerima ilmu 100% seperti yang pernah saya terima.

Umumnya selama 6 bulan saya menyampaikan ILMU tentang EMAS/DINAR ini, saya menemui 3 golongan ;

1. Orang yang tahu tentang nilai dan kehebatan EMAS. Golongan ini memiliki kesedaran tinggi bahawa EMAS adalah logam yang tinggi nilainya, sentiasa naik harganya dan menyedari menyimpannya ibarat menyimpan kekayaan. Golongan ini biasanya tidak banyak bertanya. Cuma rata-rata dari mereka tidak pernah mendengar EMAS PELABURAN. Cukup diterangkan sedikit latarbelakang syarikat dan prosedur belian dan jualan,  mereka terus membelinya. Golongan ini bertindak pantas dan selepas 6 bulan, mereka telah menikmati keuntungan dari pembeliannya dulu. Pernah saya bertanya seorang daripadanya, "Sekarang dah untung, nak jual tak?". Dia kata " Tak nak. Nak simpan lagi lamaaaa"

Saya cukup puas mendidik orang ini dan puas hati bila tindakan mereka memiliki EMAS sendiri akhirnya berjaya dan menguntungkan. Senyum panjang saya.....

2. Golongan kedua ialah orang yang telah dijelaskan keistimewaan EMAS dan ilmu pelaburan EMAS. Mereka mengakui dan memahami kekuatan dan kelebihan pelaburan EMAS tetapi mereka masih tidak bertindak. Bila ditanya, bila nak mula menyimpan, kebanyakan mereka kata tahun depan.......tiada modal.........nak kaji dan bermacam lagi. Akhirnya dari emas berharga USD 1165/oz dan emas kini sudah mencapai takat USD 1400/oz mereka masih belum lagi bertindak.

Saya cukup puas mendidik orang ini walaupun mereka belum bertindak. Nasihat saya kepada golongan ini, harga emas tidak menunggu kita....ia sentiasa naik untuk tempoh tertentu. Bermulalah dengan yang kecil jika tiada modal yang besar. Pokoknya, bermulalah sekarang! Saya pun turut senyum panjang.....

3. Golongan yang ketiga ialah golongan yang menolak kebaikan dan kehebatan EMAS sebagai kuasa pelaburan yang menguntungkan. Walaupun telah ditunjukkan banyak bukti dan banyak dialog dilakukan, tetapi mereka tetap menolak ketepi pelaburan EMAS dan memperkecil kebaikan DINAR.

Saya juga cukup puas mendidik orang ini walaupun mereka menolak mentah saranan saya menyimpan dalam EMAS sebagai medium pelaburan dan simpanan selamat. Tetapi apa yang pasti saya tetap senyum panjang terhadap golongan ini....

Persoalan : Mengapa saya senyum panjang terhadap ketiga-tiga golongan ini?

Jawapannya :

1. Saya telah maklum dan mengetahui kelebihan tersurat dan tersirat simpanan, pelaburan dan kebaikan EMAS/DINAR ini melalui kelas-kelas EMAS yang saya hadiri  dan kebaikannya berbanding platform pelaburan yang lain.

2. Saya telah maklum dan mengetahui RAHSIA KEJAYAAN dan KEKAYAAN TAUKE EMAS. Nak tahu apa rahsianya....kita bicara lain waktu.

3. saya memaklumi rahsia dan kekuatan DINAR dan kelemahan WANG KERTAS ciptaan manusia.

Semua ini saya ketahuinya melalui seminar emas yang semakin kerap diadakan mutakhir ini disamping sedikit kajian yang dilakukan......

Sunday, November 14, 2010

Inflasi musuh utama wang

Assalamualaikum buat pembaca blog sekalian........

Malam tadi, buat kali ketiga saya hadiri seminar pelaburan emas untuk tempoh 3 bulan. Walaupun hampir 70% topik yang diutarakan itu sama dalam seminar-seminarnya yg  terdahulu. Walaupun topik dan isinya tetap sama, tetapi cara penyampaian dan contoh yang diberikan sentiasa up-to-date. Kadang-kadang ada kemusykilan baru, jadi  inilah peluang untuk bertanya kepada mereka yg pakar.

Ya, itulah saja cara saya dan isteri untuk kembali kuat dan bertenaga semula dalam meneruskan perjuangan dlm biz yg dijalankan. Sekali sekala cari ketenangan, isi minda dengan ilmu disamping berbincang strategi perniagaan. Sesetangah kawan2 (termasuk keluarga sendiri) naik pelik lihat cara dan gaya kami yg suka belajar itu dan ini. Ada saja seminar nak diikutinya. Sebenarnya, ini adalah salah satu dari 2 cara kami mencari ketenangan dan kekuatan agar kami terus kuat menghadapi kehidupan dan biz yg dibuat. Yelah, macam mana nak berbincang dan tenang membuat keputusan jika berdepan dengan anak2 yang aktif dan cerdas  ni. Perrgh...hanya mereka yang memiliki anak sahaja yang tahu cabaran mendidik anak2 ni.

Baiklah, nak sentuh sedikit tentang ilmu yang saya perolehi tadi malam.

Pertama : Wang yang kita gunakan dikenal sebagai money changer atau alat pertukaran untuk mendapatkan sesuatu. Tidak sesuai untuk simpanan dan pelaburan kerana ianya tiada asas atau sandarn kukuh utk dijadikan mana-mana tujuan simpanan mahupun pelaburan. Sebab itulah samada kita sedar atau tidak, nilai wang kita merosot sedikit demi sedikit tanpa kita sedar. Untuk menjadi simpanan atau pelaburan, nilai simpanan kita perlu meningkat bukan menurun. Inilah yang dinamakan INFLASI. Musuh utama wang yang kita gunakan hari ini. Persoalannya, berapa kadar inflasi di negara kita dan sejauhmanakah inflasi memberi kesan kepada simpanan kita dan masa depan kita?

Penyusutan nilai matawang berlaku pada matawang terkuat di dunia. Jika matawang USD ini boleh mengalami penyusutan nilai sebegini teruk, bagaimana pula dengan simpanan dan rizab negara yang berjumlah ratusan bilion dalam dalam nilai USD.

Kadar inflasi dunia. Zimbabwe kini dalam situasi hyper inflation. Dibelakangnya 11 negara yg memiliki kadar inflasi tertinggi termasuklah USA. 

Bank Negara dalam satu kenyataan memaklumkan kadar inflasi dinegara kita adalah pada kadar 4-5%. (sebenarnya lebih lagi - Cthnya : cuba kira dan banding kadar kenaikan gaji dengan kadar kenaikan barang dalam setahun, banyak mana?)

Satu contoh, kita mahu menyimpan untuk tujuan mengerjakan haji utk 5 tahun akan datang. Lalu kita simpan wang kita dalam Tabung Haji. Di dalam tabung haji, kita menerima dividen 4-5% setahun. Seakan wang kita bertambah bukan? Sebenarnya, tidak. Kadaran 5% tidak cukup membantu kita melawan inflasi. Itu belum tolak lagi zakat dan peningkatan kos penerbangan dan pengurusan haji akan datang.


Berita tentang inflasi : Ia tetap akan berlaku kerana wang fiat yang kita gunakan hari ini amat terdedah dengan 1001 pengaruh negatif serta tekanan pasaran yg akhirnya meruntuhkan nilai wang sedikit demi sedikit.
Jadi, untuk melawan inflasi, kita perlu medium pelaburan yang melebihi kadar inflasi dan kenaikan kos sara hidup kita hari ini. Dengan simpanan EMAS, anda akan menikmati kenaikan (keuntungan) EMAS paling kurang 25% setiap tahun. Cuba lihat semula carta dan graf yang telah saya sertakan dalam catatan saya sebelum ini.



100 bilion untuk 3 biji telor!


Lihat tanda harga tersebut. Jual gula2 pakai juta-juta


Gaji sebulan di Zimbabwe. Tak mustahil negara kita boleh terjebak dgn situasi begini.

Persoalan kedua : Bolehkah keadaan di atas berlaku di Malaysia?. Saya kata memang boleh. Walaupun saya bukanlah pakar yang layak membicarakan ekonomi, tetapi kita sebagai pengguna, kita memiliki segala teknologi dan kemampuan untuk mengakses segala maklumat penting samada maklumat itu bersifat lampau atau melangkau masa depan. Lihat sahaja pada graf, carta dan apa sahaja yang boleh menunjukkan kerosakan ekonomi mutakhir ini diikuti kata-kata pakar. Di negara jiran kita, Indonesia, suatu ketika dahulu nilai wang kertas mereka cukup besar, namun hari ini...anda sendiri pun tahu jawapannya. Tidak mustahil nilai wang kita akan menjadi sekecil wang mereka. 10 tahun lalu, kita perlukan RM1 untuk 5 biji kariap. Hari ini kita perlukan lebih banyak wang untuk mendapat jumlah karipap yang sama.......

Monday, November 8, 2010

Emas capai harga baru USD1400/oz

Assalamulaikum buat pembaca semua. Hari ni punya berita....saja nak umumkan dan menunjukkan kepada pembaca harga tekini emas (surelah saya nak tunjukkan harga menaik)....


Berdasarkan gambar diatas, harga EMAS sudah mencapai takat harga baru USD 1400/oz pada pagi ini. Sungguh menakjubkan. Apapun tahniah kepada mereka yang telah memulakan pelaburan emas lebih awal.

Kalau saya, tersenyum sudah hingga ke telinga. Saya nak bawakan satu contoh kawan saya yang telah membeli sekian banyak emas beberapa bulan lalu kini sudah menunjukkan peningkatan keuntungan yang tinggi. Lagi lama disimpan lagi menguntungkan. Pergh masyuk!!!Tu baru simpan......belum buat tenik pajak + niaga lagi.

Jenis EMAS    Waktu belian    Harga belian     Harga terkini    Bezatara     %

20g                 Julai 2010         2854                3191               337            11.8
20g                 Sept 2010         2747                3191              444            16.1
50g                 Julai 2010         7100                7939               839            11.8
100g               April 2010        14018              15804             1786          12.7

1 dinar           Sept 2010          567                  659                 92              16.2
1 dinar           Sept 2010          569                  659                 90              15.8
5 dinar           Sept 2010         2983                 3282               299            10.1
10 dinar         Ogos 2010        5775                 6534              759             13.1

Nampak tak? Keuntungan EMAS! Setiap unit emas yang dibeli di atas sudah menunjukkan kadar keuntungan walaupun baru beberapa bulan pembelian dibuat. Itu belum buat lagi keluarkan jurus & belebad emas yang pastinya akan menambahkan kadar keuntungan setiap emas tersebut......

Baiklah.......
Dikesempatan ini saya dan nak maklumkan seminar pelaburan emas bagi bulan November kembali lagi. Seperti biasa Speaker kita ialah sifu emas Malaysia, En Shukor Hashim yang akan diadakan sepertimana berikut ;

(Kepada warga JB khususnya, marilah beramai-ramai hadir ke seminar yang diadakan secara percuma untuk mengetahui lebih lanjut kelebihan dan keistimewaan EMAS.)

Sunday, November 7, 2010

Apabila masyarakat mula sedar tentang EMAS

Dalam beberapa minggu ini tidak lekang orang ramai membicarakan DINAR dan EMAS. Berdirilah dimana-mana, nescaya anda akan dengar cerita hangat EMAS antara topik yang sering dibualkan.

Harga naik tinggi lah....
Emas tengah mahal lah.......
Duit tisu tandas lah....
Betul ke emas tu ?
Dunia tengah krisis kewangan.....
Amerika dah tak boleh harap lagi dah....dan macam-macam lagi.

Ironinya, cerita dan kisah EMAS dan DINAR mula merebak sejak Tun Mahathir bersuara tentang kehebatan dan keunggulan EMAS sebagai penyimpan kekayaan yang stabil berbanding wang kertas yang disifatkan beliau sebagai tisu tandas. Jadi tercetuslah fenomena aura EMAS. Masing-masing mula mencari apa-apa sahaja bahan bacaan tentang EMAS. Bagi yang mengenali PG, syarikat pengeluar tempatan pertama di malaysia, mula menyerbu website syarikat sehingga kapasiti website tersebut tidak mampu lagi menerima kunjungan pelawat yang datang mengejut. Dikhabarkan sehingga kini sahaja, sudah ada lebih 2000 dealer PG diseluruh negara. Kedua, syarikat PG mengalami kesukaran untuk memenuhi permintaan luar jangkaan ini disebabkan permintaan melebihi penawaran. Maka syarikat terpaksa membekukan sementara tempahan emas bullion dan dinarnya.



Walaupun reputasi syarikat sedikit tercalar kerana langkah pembekuan dilakukan, namun langkah ini dianggap sebagai berani dan berintegriti kerana pihak syarikat berusaha memenuhi dahulu tempahan lama sebelum membuka tempahan baru sejurus semua tempahan lama berjaya dilunaskan.

Baru-baru ini saya terdengar berita baik dan bakal mengubah pola pemikiran dan minat masyarakat terhadap EMAS pelaburan ini sebagai simpanan dan pelaburan bijak. Apa yang saya maksudkan ialah kerajaan Perak selepas ini akan muncul sebagai kerajaan negeri kedua selepas kerajaan Kelantan akan mengeluarkan dinar dan dirham sendiri yang boleh didapati secara terbuka.

Langkah ini bukan sahaja akan menyemarakkan lagi kecenderungan dan minat rakyat agar memiliki EMAS pelaburan sendiri, malah ia menutup terus mulut pengkritik dinar dan dirham yang selama ini dipelopori oleh kerajaan Kelantan. Tidak kisahlah untuk tujuan apapun DINAR dan DIRHAM itu diperlakukan, yang pasti rakyat mula sedar tentang kehebatan dan ketinggian nilai EMAS.



Berikut adalah antara tanda penting yang dilihat penganalisis EMAS sebagai bukti kesedaran tentang EMAS sudah mula meningkat dikalangan masyarakat ;

a. Semakin banyak institusi perbankan membuka kaunter EMAS samada melalui buku atau jualan EMAS fizikal. Jika sebelum ini Maybank melalui GSPA dan Public Bank melalui GIA, kini Kuwait Finance House sudah membuka akaun emasnya sendiri.

   
b. Semakin banyak hadiah peraduan kini berupa EMAS dalam pelbagai bentuk. Kereta-kereta dah tak main dah. Namun kalau sebelum ni banyak hadiah EMAS ditawarkan dalam bentuk jongkong, tapi sekarang ini hadiah EMAS boleh juga dalam rupa MUG dalam iklan Nescafe tu. Akan datang silap-silap ada hadiah ayam emas, itik emas, ikan emas, bedak emas, karipap emas dan macam-macam.


c. Semakin banyak cakap-cakap tentang EMAS dalam masyarakat. Dari pemimpin sehinggalah ke rakyat bawahan yang boleh kita dengar cerita mereka di warung-warung kopi. Sejak Tun Mahathir bersuara setahun dua ni, ramai mula sedar dan beralih kepada simpanan EMAS. Termasuk mereka-mereka yang sebelum ini tidak yakin dan percaya. Nak kena tunggu penangan Tun Mahathir dulu barulah bergerak......

d. Semakin banyak saluran media bercerita tentang EMAS.




e. Semakin banyak pusat gadaian Ar-Rahnu dibuka. Macam cendawan tumbuh lepas hujan. Macam-macam Ar-rahnu ada pada hari ni. Ar-Rahnu Yapiem ada, KPMJ ada, Bank Rakyat ada, Agro Bank ada, Bank Islam pun ada dan banyak lagi. Zaman dah berubah. Kini orang ramai pergi ke Ar-Rahnu bukan lagi kerana tidak berduit, tapi buat duit dengan EMAS pula.


f. Semakin banyak EMAS digunakan dalam urusan dan majlis keraian dalam masyarakat. Contohnya dalam majlis bersejarah seperti di hari pertunangan dan perkahwinan. Sekarang ni kalau kita lihat, emas bukan sahaja dalam bentuk barang perhiasan sebagai hantaran dan mas kahwin tetapi sudah dalam bentuk DINAR dan JONGKONG. Adik lelaki saya yang akan berkahwin dengan nilai hantaran RM7000 kesemuanya ditukar dalam bentuk DINAR. Masa nikah pada Januari 2011 nanti, dijangka nilainya bukan lagi RM 7000 lagi, tapi RM 8000 atau lebih......Hai bertuahlah badan...


g. Semakin banyak seminar-seminar pelaburan EMAS diadakan.

Thursday, November 4, 2010

LETUSAN DINAR DAN EMAS

Sejak dua menjak Tun Mahathir memberi kenyataan tentang penggunaan DINAR, hakikatnya ramai yang dah mula tergugah dan bangun dari lena. Paling tidak, ramai dari kalangan kita yang belum bertindak sudah mula berfikir secara serius akan kebaikan dan keasyikan menyimpan EMAS ni.

Namun tahniah dan syabas saya ucapkan kepada mereka yang telah pun bertindak. Bertindak pantas untuk berubah sebaik sahaja menerima ilmu/informasi tentang kebaikan EMAS. Tapi bagi yang masih berfikir dan menunggu, berfikirlah dan tunggulah lama-lama..........harga EMAS tidak akan kembali lagi seperti hari ini. Harga tahun ini lebih tinggi dari tahun sudah. Harga tahun depan akan lebih tinggi dari tahun ini. Bertindaklah sebelum terlambat.

Dan berita baik pada pagi ini, harga EMAS mencatat harga tertinggi baru dalam sejarah iaitu USD1390/oz dan sedikit masa lagi akan melepasi angka habat yg ditunggu-tunggu oleh semua kaki emas iaitu USD 1400/0z. Harga ini dicatat setelah berlaku 2 kali penurunan dalam masa tidak kurang sebulan dan mencanak naik semula sehinggalah yang anda saksikan dalam graf dibawah. Anda boleh tersenyum bangga sekarang. Tahniah sekali lagi.




InsyaAllah selepas ini, jika saya berkesempatan, saya akan jelaskan mengapa DINAR perlu kita angkat sebagai MATAWANG DUNIA bukan sekadar amalan orang terdahulu.....

Tuesday, November 2, 2010

Bila Dr Mahathir bersuara buat kali kedua.......

Salam sejahtera buat semua....

Pada Isnin lalu (1 Nov) Tun Mahathir muncul di kaca TV dalam Buletin Utama. dalam kemunculan singkat itu, Tun Dr Mahathir sekali lagi menegaskan apa yang pernah dicadangkan pada era pimpinannya dahulu agar penggunaan DINAR diwujudkan semula supaya ekonomi kita selamat dan terpelihara dari sebarang ancaman spekulator yang sentiasa mengambil kesempatan atas kelemahan wang dan ekonomi setiap negara di dunia. Sebenarnya, saya tak tahu pun Tun Dr Mahathir membuat kenyataan itu kerana sejak 2-3 malam ni memang saya tak sempat menonton tv. Itupun atas belas ihsan 2-3 orang kawan saya menyampaikannya  kepada saya pada kesokan harinya..........

Ada dua persepsi saya bila saya Tun Mahathir membuat kenyataan semula bahawa sistem matawang DINAR EMAS dan DIRHAM perlu digunapakai semula.

Pertama :
Masih ingatkah anda beberapa bulan lalu ramai orang termasuk ahli politik, pensyarah, pegawai Bank Negara sehingglah kepada rakyat bawahan memperlekehkan usaha kerajaan Kelantan ingin menggunapakai DINAR dan DIRHAM dalam urusan harian termasuk pembayaran gaji dan urusan jual beli barang keperluan. Saya dapati waktu itu, usaha berani dan hebat kerajaan Kelantan ini disambut dengan 1001 cemuhan dan kritikan dan tidak kurang juga yang memujinya. Tetapi kali ini, ibarat bertemu buku dengan ruas. Mantan Perdana Menteri itu menegaskan sekali lagi bahawa dunia hari ini tidak boleh lagi bergantung kepada sistem ekonomi tajaan Barat yang dianggap selama ini paling dipercayai dan yang terbaik didunia...hari ini hanya menunggu masa untuk roboh dan ranap sepenuhnya. Persoalannya, gesaan Tun ini bukan sahaja kita dengar hari ini, malah beliau telah pun bersuara sejak 2002 iaitu disaat beliau akan bersara dari jawatan PM waktu itu. (Teringat waktu itu.....saya dengar ramai pemimpin dunia termasuklah Dr Mahathir banyak menyimpan kekayaan dalam EMAS bukan dalam DUIT. Tapi masa waktu tengah jahil....jadi tak ada apa2 usaha untuk bertindak)

Kenyataan akhbar online  pada 2002 : Usul dan usaha Dr Mahathir tentang penggunaan DINAR EMAS
semasa menjadi PM.



Kedua ;
Apa yang menariknya, kawan-kawan saya yang menyampaikan berita itu belum lagi memulakan langkah menyimpan EMAS walaupun telah puas saya memberikan penerangan dan menasihatinya agar segera memulakan simpanan EMAS. Namun tiada sebarang perubahan sehinggalah mantan Perdana Menteri, Dr Mahathir memberi kenyataan tentang kelebihan DINAR dalam berita, maka nampaklah response positif yang diberikan.

Yang sorang tu kata ; Bagusnya bagi mereka yang telah memulakan simpanan EMAS dan DINAR sejak dahulu.......
Saya jawab " Alhamdulillah.....fast action fast result

Yang sorang lagi tu kata ; Aku tak percaya la kalau sistem wang kita terutamanya USD boleh jatuh sebab semua negara menggunapakai sistem wang dia.....
Saya jawab persoalan yang satu ni.... Kalau kita cakap macam tu pada 2008 boleh le....tapi pada 2009 semasa krisis kewangan teruk yang melanda US dan Eropah - akibat ciptaan sendiri, maka terbuktilah sistem duit fiat yang dipelopori mereka melalui USD dan EURO (matawang alternatif kepada USD kononnya) telah pun gagal dan menunggu masa untuk dikuburkan......

Kesimpulannya....apa yang HAK pasti BENAR. apa yang BATHIL pasti KALAH juga kepada yang HAK. Mungkin kita akan kata Tun Mahathir negarawan ulung dan pemikir masa depan.








Namun jangan kita lupa, Nabi sudah pun berpesan tentang situasi ini sejak 1431 tahun yang lalu......Jadi fikir-fikirkanlah


Berikut adalah kenyataan Tun Mahathir tentang saranan penggunaan DINAR dalam blog beliau ;

1. Ramai juga yang bertanya berkenaan Dinar Emas termasuk juga BBC yang mengadakan wawancara dengan saya baru-baru ini.


2. Apa yang sudah jadi kenyataan yang tidak lagi dapat dinafi oleh negara-negara di dunia ialah sistem kewangan yang ada sekarang sudah gagal untuk diguna dalam ekonomi dan dagangan baik dalam negeri atau antarabangsa.

3. Keputusan Bretton-Woods selepas Perang Dunia Kedua ialah semua matawang negara di dunia ditentukan nilainya mengikut nilai tukaran dengan matawang Amerika Syarikat.

4. Tetapi di tentukan juga yang nilai Dolar Amerika ialah sebanyak 35 Dollar untuk satu ouns emas. Ini bermakna secara tidak langsung semua matawang dinilai mengikut sekian banyak emas.

5. Di masa itu semua matawang adalah kukuh. Tetapi Britain, pada tahun 1966 telah turunkan nilai Pound British. Malaysia telah rugi banyak kerana simpanan (reserve) kita adalah dalam matawang Pound. Pada satu masa Pound yang bernilai Ringgit Malaysia 8.30 telah turun kepada Ringgit Malaysia 3.60.

6. Kemudian Presiden Richard Nixon membuat keputusan bahawa Dollar Amerika tidak lagi terikat dengan emas. Amerika telah tolak apa yang dipanggil sebagai “Gold Standard”. Amerika juga memutuskan bahawa pasaran akan tentukan nilai Dolar Amerika.

7. Tetapi negara-negara lain masih percaya akan kekuatan ekonomi Amerika dan meneruskan ikatan nilai matawang mereka dengan Dollar.

8. Satu lagi keputusan dunia antarabangsa ialah nilai dagangan antarabangsa ditentukan dengan nilai Dollar Amerika dan bayaran juga dibuat dengan Dollar Amerika. Ini menyebabkan permintaan bagi Dollar Amerika menjadi kuat dan sekali gus menjamin nilai Dollar Amerika tidak jatuh walaupun tidak lagi diukur dengan sekian banyak emas.

9. Pada satu masa dahulu bank besar dibenarkan mencetak dan mengeluarkan “Bank Notes” sebagai wang yang sah dipergunakan. Kemudian pemerintah mengambil alih pengeluaran matawang.

10. Bank mengeluarkan pinjaman daripada modal dan deposit oleh pelanggan. Kadang-kadang jumlah pinjaman melebihi wang yang ada dalam bank. Tetapi ini dihadkan. Walaupun demikian pinjaman yang dikeluarkan kerap kali jauh lebih banyak dari had yang ditentukan.

11. Apabila pendeposit mengeluarkan simpanan mereka beramai-ramai maka bank tidak mampu untuk membayar balik kepada pendeposit kerana semua wang telah diberi pinjam bahkan lebih daripada itu. Dalam keadaan ini bank mesti di selamatkan (bail-out) oleh Kerajaan.

12. Melihat bahawa bank boleh mengeluarkan pinjaman hampir tanpa had (unlimited) maka penyangak pun merancang untuk guna duit bank yang tidak terhad ini untuk meraih keuntungan atas angin. Maka berlakulah dagangan matawang, pinjaman kepada peminjam yang keupayaan membayar tidak terjamin, penjualan pinjaman yang dikeluarkan oleh bank kepada syarikat insurans dan syarikat gadaian (mortgage company) dan lain-lain. Jumlah semua transaksi ini amat besar, bernilai berbilion dolar. Apabila ramai peminjam tidak dapat bayar hutang atau servis hutang, maka mereka yang membeli pinjaman bank dapati mereka akan rugi berbilion dolar.

13. Dan banyak lagilah penyalahgunaan sistem bank Barat yang dilakukan. Demikian Amerika dengan kekayaannya yang besar sekalipun tidak dapat menampung berbilion dolar kerugian oleh bank, syarikat, insuran, syarikat mortgage, hedge funds, merchant dan investment bank dan lain-lain.

14. Sesungguhnya sistem bank dan matawang Barat sudah gagal. Dunia harus kaji untuk menggantinya dengan sistem lain termasuk perbankan Islam dan dagangan dengan matawang khusus seperti Dinar Emas.

15. Tidak seperti duit kertas emas tetap mempunyai nilai dimana-mana dalam dunia. Dinar Emas dicadang hanya untuk menyelesaikan bayaran dagangan antarabangsa.

16. Apakah ada cukup emas dalam dunia untuk dijadikan wang antrabangsa? Sudah tentu tidak.

17. Tetapi kita tidak perlu bayar dengan dinar emas sepenuhnya. Memadai jika kita bayar cuma lebihan antara import-eksport antara dua buah negara.

18. Jika sebuah negara mengeksport 100 juta Dinar kepada sebuah negara lain dan negara itu pula mengeksport kepada negara pertama barangan atau khidmat yang bernilai 110 juta Dinar, maka bayaran yang harus dibuat oleh Bank Negara negara yang pertama hanyalah 10 juta Dinar emas. Jika tidak ada Dinar Emas yang mencukupi maka bayaran boleh dibuat kemudian dengan eksport bernilai 10 juta Dinar.

19. Kita bukan sahaja boleh ada dagangan antara dua buah negara tetapi antara beberapa buah negara. Sebenarnya bank-bank mengguna cara ini untuk menyelesaikan bayaran cheque kepada beberapa bank yang telah terima dan mengeluarkan bayaran berasas kepada cheque lain-lain bank.

20. Sudah tentu akan ada banyak masalah pada permulaan. Tetapi pakar-pakar boleh cari jalan untuk selesaikan atau atasi kelemahan sistem Dinar Emas ini.

21. Bank Negara Malaysia pernah runding dengan sebuah negara lain dan penggunaan Dinar Emas memang boleh dilaksanakan. Tetapi entah kenapa Bank Negara Malaysia tidak dapat menjayakan sistem ini.

Kredit : http://chedet.co.cc/chedetblog/2008/11/dinar-emas.html

Tuesday, October 26, 2010

Assalamualaikum wrh wbt.....buat pembaca budiman.

Sementara berehat sekejap dari aktiviti rutin tahunan ni, saya melapangkan diri sekejap untuk mengisi posting ini kerana saya rasa agak "tercabar" dan ingin memberikan beberapa pendapat berkaitan EMAS vs HARTANAH.

"Tercabar" apabila ada pelabur hartanah mempertahankan bahawa pelaburan dalam bidang hartanah adalah lebih baik dari EMAS.

Saya tidak menafikan mana-mana pelaburan selain EMAS adalah tidak baik atau tidak bagus. Malah selagi ia berkonsepkan pelaburan....ia tetap bermakna dan baik sebagai langkah bijak kita berdepan dengan kenaikan harga barang dan inflasi yang sangat menekan jiwa raga. Tanpa pelaburan, simpanan dan kuasa perbelanjaan kita merosot dengan teruknya. Pendek kata, kita perlu "bekerja" untuk bersaing dengan kos sara hidup yang meningkat. Maka, ada dari antara kita sanggup mencari pendapatan sampingan membanting tulang empat kerat untuk mencukupkan nafkah keluarga.

Namun satu lagi cara bagaimana kita ingin menjana pendapatan melalui income pasif ialah melalui pelaburan. Duit atau wang yang kita simpan dalam apa jua simpanan yang beroreantasikan pelaburan akan "beranak pinak" tanpa kita perlu bekerja keras. Sebab itulah, saya cukup kagum dengan mereka yang bersengkang siang malam untuk mencukupkan keperluan diri dan keluarga masing-masing.

Baiklah kita kembali kepada perbicangan tentang pelaburan. Ada banyak medium pelaburan di Malaysia seperti ASB, ASN, AS1M, PUBLIC MUTUAL, ASM MARA dll. Malah Tabung Haji, Koperasi, Takaful, Insuran dan beberapa institusi kewangan lain juga terlibat dalam aktiviti pelaburan yang selamat. Itu tak masuk lagi pelaburan yang berskim dan tidak berskim.....bunyi macam susu tepung bayi.

Persoalan yang selalu diperbincangkan ialah  sejauh manakah pendapatan atau pasif income yang kita terima dair setiap pelaburan kita? Adakah medium pelaburan kita benar-benar selamat yang boleh menjamin simpanan dan pendapatan kita pada masa depan?

Sejujurnya, berdasarkan ilmu saya yang cetek ini (melalui kelas pelaburan yang banyak saya hadiri), semua bentuk pelaburan adalah berisiko. Cuma yang membezakan ialah kecil atau besar risiko tersebut. Risiko ini boleh berlaku dari pelbagai aspek dan faktor seperti sosiopolitik, sosioekonomi dan bermacam lagi. Hanya dua jenis pelaburan sahaja pada pandangan kacamata saya yang memiliki daya tahan paling tinggi disamping prospek keuntungan yang besar iaitu EMAS dan HARTANAH.  Namun, berdasarkan pembacaan, seminar dan ilmu yang sedikit ini, untuk menobatkan pelaburan terbaik dan terbukti selamat ia perlu mampu bertahan dalam apa jua situasi yang sedang berlaku dan paling penting terbukti selamat sejak dahulu, kini dan akan datang. Pelikkan bunyinya? Mestikah pelaburan perlu selamat dalam semua lingkungan zaman? Dan ada ke mana-mana pelaburan yang memiliki sejarah bahawa pelaburan tersebut terbukti selamat sepanjang zaman?

Jawapan saya ialah ADA. Dari dua jenis pelaburan tadi, hanya EMAS terbukti berjaya bertahan dan mampu melawan semua arus semua zaman yang pernah dan akan berlaku pada masa depan. Macam mana tu? ...........tunggu ye posting saya akan datang!

Monday, October 25, 2010

MENYIMPAN UNTUK MENJADI TETAMU ALLAH

Assalamualaikum dan selamat sejahtera...

Sekarang ni, saya agak sibuk dengan kerja-kerja rutin tahunan (setahun sekali buat). Nak buat cam ne dah kewajipan dan amanah. Perlu dibereskan dahulu.

Hari ini sebahagian kecil umat Islam di Malaysia (1%) sedang bersiap-siap untuk melengkapkan diri untuk menunaikan kewajipan rukun Islam ke 5, iaitu ibadat HAJI. Jadi, ada baiknya saya khususkan post saya dengan tajuk ni dan saya akan utarakan satu cadangan kepada tuan puan bagaimana EMAS boleh dijadikan alat/aset sebagai modal untuk kita menunaikan haji dari sekarang.
Menjadi tetamu Allah menjadi idaman setiap hamba yang taat........

Sebelum tuh, buat jemaah haji yang sudah dan akan berangkat ke TANAH SUCI tahun ini, diucapkan selamat mengerjakan ibadat HAJI dan semoga mendapat haji yang mabrur serta selamat pergi dan balik. Laksanakanlah rukun Islam ke 5 ini dengan rendah hati dan penuh tawadhuk dalam pengabdian diri kepada Allah. Khusus buat MasterDealer saya, En Samsudin, Kak Lin, Admin GLOBAL GENIUS GOLD serta clien saya Cik Norshidah Sulong didoakan semoga selamat dalam perjalanan dan dikurniakan kesihatan hendaknya.

Jika daftar haji hari ini, alamatnya terpaksalah kita berangkat ke sana pada tahun 2035.....Agak-agaknya berapa kos haji pada waktu itu ye? Boleh dapat lagi ke kos haji sekarang yang berjumlah RM 10000 tu?

Jawapannya, kita TIDAK BOLEH pergi haji waktu itu dengan kadar hari ini (10k). Ini kerana kadar kos haji meningkat dari masa ke semasa. Jika anda sudah menyimpan RM 10 000 hari ini dan jangkaan anda menunaikan haji 10 tahun dari sekarang......berkemungkinan besar anda perlu menambah minimum 4% setahun dari kadar sekarang kerana inflasi akan naik seiring peredaran semasa. (kadar 4% kadar minimum inflasi bagi Malaysia-sebenranya boleh tinggi lagi). Maknanya anda perlu sediakan RM 4000 lagi untuk memenuhi kos haji waktu itu.

Namun sebaliknya jika anda menyimpan EMAS hari ini, anda hanya perlu kekalkan RM 1300 sahaja sebagai deposit dalam buku akaun Tabung Haji dan selebihnya 8700 lagi anda beli saja EMAS atau DINAR. Emas akan naik dengan kadar purata 30% setahun. Pada 10 tahun akan datang, jangan terkejut ketikanya nanti, bukan sahaja anda, bahkan dengan simpanan EMAS anda hari ini membolehkan anda membawa seorang lagi teman untuk menunaikan haji. Bawalah isteri, ibu atau bapa atau siapa sahaja mengiringi anda ke rumah Allah kelak....alangkah seronoknya. Tanpa sesen pun anda tidak perlu diminta menambah kosnya. Cukuplah sekadar RM 10 000 dengan pembelian EMAS anda hari ini. 

Lihat contoh kiraan di bawah ;

Tahun 2002 - 1 Dinar = RM 140.00, perlu 72 Dinar

Tahun 2003 - 1 Dinar = RM 168.00, perlu 60 Dinar

Tahun 2004 - 1 Dinar = RM 202.00, perlu 50 Dinar

Tahun 2005 - 1 Dinar = RM 242.00, perlu 42 Dinar

Tahun 2006 - 1 Dinar = RM 290.00, perlu 34 Dinar

Tahun 2007 - 1 Dinar = RM 348.00, perlu 29 Dinar

Tahun 2008 - 1 Dinar = RM 418.00, perlu 23 Dinar

Tahun 2009 - 1 Dinar = RM 502.00, perlu 20 Dinar

Tahun 2010 - 1 Dinar = RM 645.00, perlu 15 Dinar

Sila lihat pula simulasi ini ;
Jadi, simpanlah EMAS sebagai modal anda untuk memenuhi impian anda untuk menjadi tetamu Allah suatu hari nanti. Saya, sebagai Admin DINARIZQ mendoakan agar hajat anda untuk kesana suatu hari nanti terlaksana jua....Amin.
 
(InsyaAllah admin pun tgh pakat nak daftar dengan isteri dan ibubapa disamping berdikit-dikit menyimpan DINAR mulai sekarang)

Friday, October 22, 2010

EMAS sebagai penyimpan NILAI bukan penyimpan KUANTITI

Assalamualaikum dan selamat sejahtera buat semua pembaca.........

Dalam dua hari lepas, dua rakan saya ada datang dan bertanya saya sesuatu tentang EMAS. Dari cara dia bertanya tu, saya rasakan sekadar bertanya untuk melepaskan batuk ditangga. Macam mana tu?

Kawan saya tu kata begini....."kalau hari ini kita beli sejongkong emas dengan harga RM 10,000, katakan tahun depan harga jongkong EMAS tersebut naik menjadi RM 12 000. Kalau kita jual EMAS tu tahun depan yang bernilai RM 12000 tu, lepas tu kita beli EMAS balik dengan harga yang sama...bila kita nak dapat untung? Katakan tahun berikutnya harga emas tu naik lagi menjadi RM14000, lepas tu jual semula....bila dan mana untungnya"

Dalam hati kecil saya berkata, "kalau soalan macam tu, budak kecik sekolah tadika pun boleh jawab". Gertus hati saya.
Soalan yang macam acuh tak acuh tu.....saya jawab dengan simple je....kehebatan EMAS bukanlah pada KUANTITInya tetapi pada NILAInya. Duit/Wang akan kelihatan bertambah secara zahirnya jika kita buat pelaburan yang beroreantiasikan matawang seperti ASB, Unit Trust, Forex dll melalui keuntungan dari pelaburan. Tetapi Duit atau wang tersebut akan kehilangan NILAInya sedikit demi sedikit tanpa kita sedari kerana faktor INFLASI yang menekan. Berlainan dengan EMAS, hari ini kita pergi beli sekeping/sebiji EMAS, nilainya akan meningkat pada tahun hadapan meskipun kuantitinya tidak pernah berubah. Jadi dengan bermodalkan RM 10 000 tu hari ini untuk seketul EMAS, tahun depan anda boleh jual semula dengan harga RM 12 000. Dapat tambahan RM 2000. Jika tak nak RM2000 tu.....simpan perap lagi hingga tahun berikutnya..katakan jadi RM 14000..dan seterusnya. Pendek kata simpan EMAS adalah untuk simpan KEKAYAAN.

Buat sedikit perbandingan.....Fikirkan

Seketul Emas syiling Dinar ini tidak akan bertambah dari segi KUANTITI tetapi yang bertambah adalah NILAI yang ada padanya.

Kuantiti wang memang akan bertambah melalui kenaikan gaji atau hasil pelaburan tetapi nilainya akan jatuh tanpa kita sedari. (Atas : Seorang pekerja Zimbabwe membawa keluar gaji beliau dari Bank) Bayangkan andai keadaan ini berlaku di negara kita.


Pernah tonton cerita P Ramlee, Ali Baba Bujang Lapok? Cuba imbas semula watak Ali Baba dalam filem tu.....Dengan syiling emas yang dimiliki (ingat ye bukannya wang kertas) nilai hidup dan kedudukan Ali Baba meningkat kerana sesiapa yang memiliki EMAS dia boleh dianggap KAYA dan BERHARTA. Kenapa ini berlaku...kerana EMAS memiliki nilai yang tinggi dari pandangan manusia......

Jadi kesimpulannya, SIMPAN EMAS = SIMPAN KEKAYAAN. SAVE GOLD = SAVE RICH. Ok lah itu sahaja dulu catatan saya untuk kali ini. Simpanlah Emas sekarang.

Monday, October 18, 2010

Hendak maju perlu berguru.......

Alhamdulillah.....

Syukur pada sabtu yang lalu (16 Oktober lalu) saya hadiri seminar Potensi Pelaburan Emas yang disampaikan oleh Sifu EMAS di Malaysia, siapa lagi kalau bukan En Shukor Hashim. Ini kelas yang ketiga saya bersama beliau. Walaupun sudah berjinak dengan EMAS ini sudah hampir setahun, tetapi minat untuk mendalami ILMU itu sentiasa ada....al-maklumlah ILMU sedia ada perlu kita update selalu supaya sentiasa relevan dengan isu semasa. Tapi yang paling seronok, seorang rakan saya, iaitu En Zamri akhirnya hadir juga ke seminar tu.

Selama ini, saya cuba perkenalkan EMAS kepadanya. Memperkenal, berdialog dan berbincang tentang kebaikan EMAS. Walau sesen pun saya tak dapat apa-apa manfaat dari usaha saya memperkenalkan EMAS kepadanya, saya cuba juga kerana bagi saya ini adalah usaha kearah PENDIDIKAN......Alhamdulillah kelihatan minatnya terhadap EMAS telah bertambah dan berkesedaran tinggi untuk menyimpan dalam bentuk EMAS. Lebih mengujakan siap nak join jadi DEALER lagi. Tahniah buat rakan saya tadi.

Seperkara lagi.....

Buat MasterDealer saya, En Samsudin Ayub dan Kak Lin, didoakan agar selamat berangkat ke tanah suci untuk menunaikan HAJI pada tahun ini. Semoga dapat haji MABRUR dan sihat sepanjang berada di sana.

Tuesday, October 12, 2010

REKOD HARGA EMAS

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera buat pembaca semua

Ada yang bertanya kat saya, apa lebihnya simpan EMAS? Hebat sangatkah keuntungan melabur dalam EMAS jika nak dibandingkan dengan medium pelaburan yang lain? Tak takut hilang ke? Entah-entah pelaburan haram atau skim cepat kaya kot!.....dan macam-macam lagi komen yang saya dengar.

Bagi saya biasalah, nak mendidik manusia tak semudah yang kita jangkakan. Nak mendidik manusia kembali kepada kesedaran dan positif biasanya menghadapi banyak halangan sebelum bertemu kejayaan. Nawaitu saya, hanya mahu mendidik rakan dan masyarakat tentang kehebatan dan kebaikan EMAS. Dalam al-Quran, hadith dan kata-kata ulama' bila dikaji kesemuanya mengiktiraf keistimewaan EMAS. Mengakui EMAS sebagai aset dan matawang yang tiada galang ganti. Sejak 1400 tahun yang lalu, Rasulullah sendiri menjelaskan hanya EMAS dan PERAK yang boleh diguna dan dimanfaat disaat semua benda lain didunia tidak mampu lagi digunapakai khususnya dalam soal kewangan.

Baiklah kita jawab soalan yangsering ditanya kepada saya :

Apa kelebihan menyimpan EMAS? Hebat sangatkah EMAS jika nak dibandingkan dengan ASB, ASN, Unit Trust, FOREX?

Jawapan : Saya tak akan jawab secara panjang lebar. Cukuplah saya tunjukkan graf catatan EMAS 6 bulan, 1 tahun, 2 tahun, 5 tahun dan 10 tahun ini sebagai bukti.... Bak kata Nabil "Lu fikirlah sendiri.."

Graf untuk 2 bulan

Graf untuk 1 tahun
Graf untuk 2 tahun
Graf untuk 5 tahun

Graf untuk 10 tahun....


Amacam? Kenapa, tak percaya ke? Betul tak yang Nabi sabdakan 1400 tahun dulu?

Thursday, September 30, 2010

Emas naik melepasi 1300 / ounce


Salam sejahtera...

Lama dah saya tak jengok blog ni........sehinggalah harga EMAS melonjak menggapai 1300/ounce saya seperti tak percaya. Mana taknya, bermula dengan membeli emas pada harga sedang tinggi (1240/ounce), kemudian turun pula (kali pertama) sepanjang bulan Julai sehingga kecut perut juga dibuatnya (1165/ounce)......dan akhirnya tersenyum lebar apabila dia naik semula sehingga 1310/ounce. Pergh...pengalaman pertama yang tidak dapat dilupakan. Sekarang dah boleh start kira keuntungan. Betullah seperti sifu-sifu Emas cakap, emas akan naik dan turun setiap masa tetapi dalam graf menaik untuk jangkamasa panjang. Pengalaman pertama sangat memberi makna kepada ilmu yang ditimba selama ni. Kira macam praktikal la niiii. Tambah ILMU tambah lagi KEKAYAAN......

Wednesday, August 18, 2010

Sekitar Pelancaran DINAR dan DIRHAM di Kelantan

JUALAN DINAR DAN DIRHAM KELANTAN DAPAT SAMBUTAN



KOTA BHARU 18 Ogos – Hari pertama dinar emas dan dirham dibuka untuk jualan menyaksikan rakyat Kelantan memenuhi Pusat Pajak Gadai Islam Ar-Rahn di sini bagi mendapatkan mata wang yang diperkenalkan kerajaan negeri itu.

Tinjauan mendapati rata-rata pembeli berhasrat menjadikan dinar dan dirham itu sebagai hiasan diri seperti loket untuk disimpan sebagai koleksi peribadi.

Seorang pembeli, Zainun Che Aziz, 60, berkata, pengeluaran dinar itu adalah trend terbaru emas di pasaran yang perlu dibeli dan harus dimiliki.

“Emas ni ikut musim, macam-macam bentuk dan saiz emas keluar di pasaran dan bila keluar emas dinar ini saya rasa mesti beli kerana ia unik dan saya mahu membuat loket untuk diberi kepada cucu saya. Kalau tidak beli rugilah mana tahu tiba-tiba ia tidak dijual lagi,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Pengurus Operasi Ar-Rahn Kota Baharu 2, Siti Azian Ibrahim berkata, sebanyak 344 keping dirham serta 50 keping dinar dibuka untuk jualan hari ini.

“Melihat situasi sebelum ini pada mulanya kita tidak menjangkakan jualan dinar akan mendapat sambutan kerana ramai yang tidak bersetuju dengan penggunaannya dalam urusan seharian.

“Tetapi pembukaan jualan mata wang berkenaan di Ar-Rahn hari ini melihat sesuatu yang berbeza apabila rakyat tetap berminat membelinya dan kebanyakan pelanggan berkata mereka mahu menjadikan dinar itu sebagai perhiasan diri seperti loket dan gelang,” katanya.

Siti Azian berkata, bagi dinar, terdapat lima saiz yang dijual dengan harga berbeza setiap hari mengikut nilai emas semasa dan hari ini harga bagi setengah dinar ialah RM296, satu dinar (RM592), dua dinar (RM1,184), lima dinar (RM2,960) dan lapan dinar (RM4,736).

“Manakala bagi nilai dirham pula ialah satu dirham bernilai RM13, dua dirham (RM26), lima dirham (RM65), 10 dirham (RM130) dan 20 dirham (RM260),” katanya. – Bernama


P/S Bertuahnya rakyat Kelantan.........

Sunday, August 15, 2010

DINAR - Perjalanan yang masih berliku

Assalamulaikum wbt....

Sejak seminggu ini banyak perbincangan (cakap-cakap) tentang penggunaan DINAR sebagai matawang alternatif.
Dinar - lambang kehebatan dan kekayaan sebenar

Semua ini bermula apabila kerajaan Kelantan melalui Menteri Besarnya, Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat telah mengumumkan penggunaan Dinar dan Dirham secara meluas meliputi aspek kehidupan seperti pemberian gaji, transaksi jual beli, pengeluaran zakat dan pelbagai lagi.

Tidak lama selepas itu, keputusan dan tindakan kerajaan Kelantan untuk menggunakan Dinar dan Dirham secara meluas mendapat pelbagai reaksi bermula dari Perdana Menteri, Bank negara sehinggalah rakyat kebanyak di warung-warung kopi. Ada yang mentertawakannya, ada yang menempelak dan tak kurang juga yang memujinya.Ternyata masih agak berliku perjalanan DINAR. Namun, yakinlah halangan-halangan ini tidak mampu lagi menutup sinarnya. Yang hak pasti menang.

Jika anda tanya saya, of course Dinar pilihan saya. Cuba anda bayangkan anda dibayar gaji dengan emas, anda nak tak? Jika anda peniaga, pelanggan anda menyerahkan emas dan perak sebagai ganti barang atau perkhidmatan yang anda sediakan..... Esok lusa harga naik...Best tak?

Anda tahu kenapa harga emas naik.....

Memilikinya ibarat memiliki kejayaan dan kehebatan
Sebenarnya harga emas tidak akan naik sebab ia adalah komoditi. Jadi apa sebab EMAS naik harga? Kerana duit kita menyusut nilainya. Lagi banyak susut nilai wang kita, lagi tinggilah wang yang kita perlukan untuk memiliki emas tersebut. Sebagai contoh beberapa tahun lalu, emas boleh dibeli dengan harga RM 80 segram. Hari ini kita memerlukan kira-kira RM 140 segram. Beza RM 60 itu datangnya dari penyusutan nilai wang kita dan kesan inflasi (kenaikan harga barang).

Daripada perbincangan di atas, jelaslah DINAR adalah matawang terbaik dan memberi kesan baik pula kepada mereka yang mamnfaatkannya. Sejarah dahulu membuktikan dengan DINAR, ia bukan sahaja membantu memantapkan ekonomi malah secara tidak langsung membantu meningkatkan sosio ekonomi rakyat keseluruhannya.


.

DINAR - dalam ucapan Menteri Besar Kelantan

KUALA LUMPUR, 24 Julai (Hrkh) – Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat menggesa anggota gabungan Persidangan Negara-negara Islam (OIC) supaya menggunakan Dinar Emas untuk menghalang Amerika Syarikat dan Yahudi terus menguasai ekonomi dunia. Dalam ucapannya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sebentar tadi, Nik Aziz mempersoalkan jika Kesatuan Eropah boleh menggunakan Euro sebagai matawang sendiri, mengapa tidak negara OIC. Beliau yang juga Mursyidul Am PAS menegaskan, penggunaan dinar boleh menjadi teras kepada penyatuan negara umat Islam dari sudut ekonomi untuk bangkit dari dibuli penjajahan kuasa besar dunia. Nik Aziz turut mengesyorkan kerajaan Malaysia, supaya mengambil langkah positif, meneruskan cadangan dan landasan yang dimulakan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semasa beliau menjadi Perdana Menteri dahulu, bagi menggunakan emas dalam perdagangan antara negara-negara OIC.


“Perkara ini bukan merupakan isu ekonomi semata-mata,” tegasnya. Kerajaan Negeri Kelantan menurutnya mengorak langkah pada tahun lalu untuk memperkenalkan dinar emas kepada rakyatnya. Beliau turut berbangga kerana pelancaran dinar emas mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada rakyat Kelantan dan pelancong yang berkunjung ke negeri Serambi Mekah itu. Nik Aziz berkata demikian dalam Majlis Makan Malam sempena ‘Persidangan Antarabangsa Mengenai Ekonomi Gold Dinar’ yang dianjurkan di PWTC pada 24 dan 25 Julai ini yang turut disiarkan secara langsung menerusi www.kelantan.tv. Selain Dr Mahathir sebagai pemidato utama, persidangan dua hari itu mengemukakan beberapa tokoh ekonomi Islam antarabangsa antaranya, Profesor Madya Dr Ahamed Kameel Mydin Meera, Profesor Masudul Alam Choudhury, Sheikh Imran N. Hosein, Umar Ibrahim Vadillo, dan lain-lain. Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Naib-naib Presiden PAS, Dato’ Husam Musa, Mohamad Sabu dan Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Abdul Fatah Mahmood.

Teks penuh ucapan Tuan Guru Nik Aziz seperti berikut: “Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia, kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak, longgokan harta benda yang banyak berpikul-pikul, dari emas dan perak, kuda peliharaan yang bertanda, lagi terlatih, dan binatang-binatang serta kebun-kebun tanaman. semuanya itu adalah kesenangan hidup di dunia(yang bersifat sementara). dan (ingatlah), pada sisi Allah adalah tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu syurga yang kekal abadi). (Surah Ali Imran, ayat 14) Alhamdulillah, marilah sama-sama kita merafa’kan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah subhanahu wa taala, kerana hanya dengan limpah izin dan inayah-Nya sahaja, kita dapat menjayakan majlis makan malam, sempena “Persidangan Ekonomi Dinar Emas peringkat Antarabangsa” yang sangat penting lagi amat bersejarah ini. Dato’-dato’, Datin-datin, tuan-tuan dan puan-puan yang dikasihi sekelian, Pada tanggal 27 Syaaban 1427 hijriah, bersamaan 20 September 2006 yang lalu, Kerajaan Negeri Kelantan telah mudahkan kepada rakyat Kelantan amnya, dengan penjualan kepingan-kepingan dinar yang diperbuat daripada emas tulen 22 karat, bersamaan seberat 4.25 gram. Pelancaran emas dinar Kelantan tersebut, bukanlah bermaksud Kerajaan Negeri Kelantan mahu menggantikan penggunaan ringgit Malaysia dengan dinar! Kerajaan negeri mahupun Kerajaan Pusat sekalipun, tidak mampu, malah tidak ada kuasa untuk berbuat demikian. Bahkan, kerana wujudnya perjanjian di peringkat antarabangsa, yang memutuskan bahawa emas dan perak tidak lagi boleh dijadikan mata wang dalam ekonomi semasa.

Tindakan mewadahkan dinar yang dilakukan oleh kerajaan Kelantan, sama sekali tidak bertentangan dengan peraturan dan amalan bank negara, kerana pada tahun 2003 yang lalu, Bank Negara sendiri pernah memperkenalkan wadah dinar kepada rakyat. Sehingga hari ini, tuan-tuan dan puan-puan masih boleh membeli dinar, yang ditempah dan dijual oleh The Royal Mint dengan tiada apa-apa masalah. Sememangnya budaya ekonomi Islam adalah berteraskan dinar dan dirham.

Dalam al-Quranul karim, perkataan dinar dan dirham ada termaktub dalam Surah Ali Imran ayat 75 dan juga dalam surah Yusof ayat 20. Maksudnya: Dan di antara ahli-ahli kitab, ada orang yang kalau engkau amanahkan dia menyimpan sejumlah besar harta sekalipun, dia akan mengembalikannya (dengan sempurna) kepada kamu dan ada pula di antara mereka, yang kalau engkau amanahkan menyimpan hanya satu dinar sahaja pun, dia tidak akan mengembalikannya kepada kamu, kecuali kalau kamu selalu menuntutnya. (Surah Ali Imran : 75) Maksudnya: Dan (setelah berlaku perundingan), dan adik beradik Nabi Yusuf telah menjual Yusuf dengan harga yang murah, iaitu beberapa dirham sahaja…

Kedua-dua ayat al-Quran ini menceritakan, bahawa penggunaan wang dinar dan dirham, telah pun berlangsung sejak ribuan tahun, sebelum kebangkitan Nabi Muhammad s.a.w lagi. Selain daripada ayat al-Quran, terdapat banyak hadis-hadis yang menceritakan, tentang penggunaan dinar dan dirham sebagai matawang, sehingga ke zaman Rasulullah s.a.w, sebagaimana sabda baginda : maksudnya: “Dinar yang engkau belanjakan di jalan Allah, dinar yang engkau belanjakannya dalam membebaskan hamba. Dinar yang engkau sedekahkan kepada orang miskin. dan dinar yang engkau belanjakannya untuk ahli keluarga kamu. Yang paling besar pahalanya (di sisi Allah) ialah dinar yang kamu belanjakannya untuk (memenuhi keperluan dan membangunkan potensi hidup) ahli keluarga kamu. Dalil-dalil daripada al-Quran dan hadis di atas membuktikan bahawa, asas sistem matawang yang digunakan di sepanjang sejarah ketamadunan manusia, sejak zaman nabi-nabi yang terdahulu, sehinggalah ke zaman Nabi Muhammad s.a.w, adalah dalam bentuk mata wang dinar dan dirham. Bahkan sistem inilah, yang telah diamalkan di sepanjang pemerintahan Khulafa’ ar-Rasyidin, sehingga berakhirnya zaman pemerintahan kerajaan atau Khilafah Uthmaniyyah pada tahun 1924 Masihi.(Untuk ditukar dengan sistem sekular Ataturk dan telah menimbulkan seribu satu masalah kepada al-insan).

Sejarah juga telah membuktikan bahawa negeri Kelantan berada di bawah jajahan takluk Kerajaan Siam suatu ketika dahulu, pihak Kerajaan Kelantan sentiasa membayar ufti kepada kerajaan Siam pada setiap tahun, dengan menghantarkan sebilangan kepingan-kepingan wang emas, yang digubah dalam bentuk bunga emas. Ini membuktikan bahawa, penggunaan wang dinar emas bukan hanya digunakan umat Islam di Timur Tengah sahaja, tetapi telah digunakan secara meluas sehingga ke Adia Tenggara, termasuk Negeri Kelantan sejak ratusan tahun yang lalu.

Para Hadirin sekalian, Saranan supaya kembali kepada penggunaan wang dinar emas, sebagai teras ekonomi pada zaman globalisasi ini, bukanlah dimonopoli oleh penganut agama Islam sahaja. Bahkan ramai juag ahli-ahali ekonomi dari kalangan bukan, yang inginkan wang komoditi, kahsnya dalam bentuk kepingan emas dan perak kerana kestabilan dan jaminan kebebasan yang dikandungnya. Mereka berpendapat, alasan utama mengapa sistem wang komoditi seperti dinar emas, tidak dibenarkan oleh pihak-pihak tertentu, bukanlah disebabkan kekurangan kemahiran teknikal tetapi kerana wang komoditi mampu menggantikan sistem monetari konvensional. Oleh kerana penggantian tersebut boleh menjadi ancaman besar, khasnya kepada kepentingan ekonomi Amerika dan Yahudi sedunia menyebabkan pihak-pihak yang berkepentingan itu gemar membuat alasan bahawa kononnya jika emas dan dinar dijadikan sebagai matawang ia akan mudah tercicir, atau poket akan cepat tembus, kerana berat membawa wang dari emas.

Dato’-dato’, datin-datin, tuan-tuan, dan puan-puan yang dihormati sekalian, Emas telah menjadi piawai bagi mata wang dunia, selama beribu-ribu tahun, sehinggalah ia diganti kepada wang kertas dollar hanya pada awal tahun 1970-an. Wang dollar tidak lagi disandarkan kepada emas, tetapi nilainya turun naik mengikut gelora permintaan dan penawaran pasaran tukaran wang asing. Justeru, kita perlu melihat usaha pengembalian dinar dan dirham ini, sebagai usaha menegakkan sistem ekonomi yang lebih adil dan lebih telus. Bukannya satu agenda untuk meraih populariti. Bahkan sebagai satu tanggungjawab untuk mengembalikan semuala kefahaman umat Islam khasnya, berhubung peradaban dan sejarah penggunaan dinar dan dirham, serta bertujuan untuk memberi kesedaran dan keyakinan, terhadap penggunaan dinar dan dirham sebagai alternatif kepada sistem matawang, terutamanya dengan mempelopori penggunaan dinar sebagai simpanan, mas kahwin, membayar zakat, pemberian hadiah, dan sedekah untuk bekal akhirat sebagai harta cagaran di pusat-pusat gadaian ar-Rahnu, sebagai upah kepada perkhidmatan atau sumabangan yang tertentu dan sebagainya. Saya telah difahamkan bahawa sehingga ke tarikh ini, sejumlah lebih RM600 ratus ribu nilaian wang emas dinar Kelantan, telah dibeli oleh masyarakat umum. dan yang sangat menariknya, pelancong-pelancong dan pelawat-pelawat dari luar Kelantan juga, berebut-rebut untuk memiliki dinar emas keluaran kerajaan Kelantan. Sama ada sebagai cenderamata, mahupun untuk lain-lain kegunaan mengikut keperluan masing-masing. Ini semua membuktikan bahawa, usaha ke arah mengembalikan semula penggunaan mata wang dinar, mempunyai masa depan yang amat cerah, dan akan mendapat sokongan daripada pelbagai masyarakat di seluruh dunia, tanpa mengira agama, bangsa, bahasa dan budaya.

Para hadirin sekalian, Saya selaku Ketua Kerajaan Negeri Kelantan, akan terus memberi sokongan yang sepenuhnya, walaupun dalam bidang yang terhad kepada perjuangan “Gold Dinar Economy” kerana ia merupakan satu perjuangan suci, yang dapat menyatukan dan mendaulatkan kembali umat Islam serta negara-negara kecil sedunia, daripada terus dijajah dan dibuli oleh kuasa besar ekonomi dunia. Saya juga mengesyorkan supaya kerajaan Malaysia mengambil supaya kerajaan Malaysia mengambil langkah positif, dengan meneruskan cadangan dan landasan yang telah dimulakan oleh Tun Dr Mahathir semasa beliau menjadi Perdana Menteri dahulu, bagi menggunakan emas dalam perdagangan antara negara-negara OIC. Perkara ini bukan merupakan isu ekonomi semata-mata. Ia sebaliknya mengandungi kemaslahatan umum yang bersifat sejagat, yang perlu diperjuangkan secara konsisten oleh kita semua. Jika negara-negara Kesatuan Eropah boleh menggunakan matawang mereka sendiri, dengan nama mata wang Euro, mengapa tidak kita negara-negara OIC menggunakan mata wang dinar? Saya serahkan kepada pakar-pakar ekonomi kita, untuk terus berjuang memberi kefahaman kepada masyarakat Islam, terutamanya pimpinan dan golongan cendikiawan.

Di kesempatan ini, saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada pihak penganjur persidangan ini, dan juga semua pembentang kertas kerja, sama ada dari luar negara mahupun dari dalam negara, yang sama-sama telah bersatu tenaga dan idea, dalam menjayakan “Persidangan Ekonomi Dinar Emas peringkat Antarabangsa,” yang sangat penting lagi sangat bersejarah ini.



DINAR oleh TUN DR MAHATHIR

Mari ikuti sejenak pandangan Tun Mahathir tentang DINAR.



DINAR EMAS

Mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamed (chedet.com )

1. Ramai juga yang bertanya berkenaan Dinar Emas termasuk juga BBC yang mengadakan wawancara dengan saya baru-baru ini.

2. Apa yang sudah jadi kenyataan yang tidak lagi dapat dinafi oleh negara-negara di dunia ialah sistem kewangan yang ada sekarang sudah gagal untuk diguna dalam ekonomi dan dagangan baik dalam negeri atau antarabangsa.

3. Keputusan Bretton-Woods selepas Perang Dunia Kedua ialah semua matawang negara di dunia ditentukan nilainya mengikut nilai tukaran dengan matawang Amerika Syarikat.

4. Tetapi di tentukan juga yang nilai Dolar Amerika ialah sebanyak 35 Dollar untuk satu ouns emas. Ini bermakna secara tidak langsung semua matawang dinilai mengikut sekian banyak emas.

5. Di masa itu semua matawang adalah kukuh. Tetapi Britain, pada tahun 1966 telah turunkan nilai Pound British. Malaysia telah rugi banyak kerana simpanan (reserve) kita adalah dalam matawang Pound. Pada satu masa Pound yang bernilai Ringgit Malaysia 8.30 telah turun kepada Ringgit Malaysia 3.60.

6. Kemudian Presiden Richard Nixon membuat keputusan bahawa Dollar Amerika tidak lagi terikat dengan emas. Amerika telah tolak apa yang dipanggil sebagai “Gold Standard”. Amerika juga memutuskan bahawa pasaran akan tentukan nilai Dolar Amerika.

7. Tetapi negara-negara lain masih percaya akan kekuatan ekonomi Amerika dan meneruskan ikatan nilai matawang mereka dengan Dollar.

8. Satu lagi keputusan dunia antarabangsa ialah nilai dagangan antarabangsa ditentukan dengan nilai Dollar Amerika dan bayaran juga dibuat dengan Dollar Amerika. Ini menyebabkan permintaan bagi Dollar Amerika menjadi kuat dan sekali gus menjamin nilai Dollar Amerika tidak jatuh walaupun tidak lagi diukur dengan sekian banyak emas.

9. Pada satu masa dahulu bank besar dibenarkan mencetak dan mengeluarkan “Bank Notes” sebagai wang yang sah dipergunakan. Kemudian pemerintah mengambil alih pengeluaran matawang.

10. Bank mengeluarkan pinjaman daripada modal dan deposit oleh pelanggan. Kadang-kadang jumlah pinjaman melebihi wang yang ada dalam bank. Tetapi ini dihadkan. Walaupun demikian pinjaman yang dikeluarkan kerap kali jauh lebih banyak dari had yang ditentukan.

11. Apabila pendeposit mengeluarkan simpanan mereka beramai-ramai maka bank tidak mampu untuk membayar balik kepada pendeposit kerana semua wang telah diberi pinjam bahkan lebih daripada itu. Dalam keadaan ini bank mesti di selamatkan (bail-out) oleh Kerajaan.

12. Melihat bahawa bank boleh mengeluarkan pinjaman hampir tanpa had (unlimited) maka penyangak pun merancang untuk guna duit bank yang tidak terhad ini untuk meraih keuntungan atas angin. Maka berlakulah dagangan matawang, pinjaman kepada peminjam yang keupayaan membayar tidak terjamin, penjualan pinjaman yang dikeluarkan oleh bank kepada syarikat insurans dan syarikat gadaian (mortgage company) dan lain-lain. Jumlah semua transaksi ini amat besar, bernilai berbilion dolar. Apabila ramai peminjam tidak dapat bayar hutang atau servis hutang, maka mereka yang membeli pinjaman bank dapati mereka akan rugi berbilion dolar.

13. Dan banyak lagilah penyalahgunaan sistem bank Barat yang dilakukan. Demikian Amerika dengan kekayaannya yang besar sekalipun tidak dapat menampung berbilion dolar kerugian oleh bank, syarikat, insuran, syarikat mortgage, hedge funds, merchant dan investment bank dan lain-lain.

14. Sesungguhnya sistem bank dan matawang Barat sudah gagal. Dunia harus kaji untuk menggantinya dengan sistem lain termasuk perbankan Islam dan dagangan dengan matawang khusus seperti Dinar Emas.

15. Tidak seperti duit kertas emas tetap mempunyai nilai dimana-mana dalam dunia. Dinar Emas dicadang hanya untuk menyelesaikan bayaran dagangan antarabangsa.

16. Apakah ada cukup emas dalam dunia untuk dijadikan wang antarabangsa? Sudah tentu tidak.

17. Tetapi kita tidak perlu bayar dengan dinar emas sepenuhnya. Memadai jika kita bayar cuma lebihan antara import-eksport antara dua buah negara.

18. Jika sebuah negara mengeksport 100 juta Dinar kepada sebuah negara lain dan negara itu pula mengeksport kepada negara pertama barangan atau khidmat yang bernilai 110 juta Dinar, maka bayaran yang harus dibuat oleh Bank Negara negara yang pertama hanyalah 10 juta Dinar emas. Jika tidak ada Dinar Emas yang mencukupi maka bayaran boleh dibuat kemudian dengan eksport bernilai 10 juta Dinar.

19. Kita bukan sahaja boleh ada dagangan antara dua buah negara tetapi antara beberapa buah negara. Sebenarnya bank-bank mengguna cara ini untuk menyelesaikan bayaran cheque kepada beberapa bank yang telah terima dan mengeluarkan bayaran berasas kepada cheque lain-lain bank.

20. Sudah tentu akan ada banyak masalah pada permulaan. Tetapi pakar-pakar boleh cari jalan untuk selesaikan atau atasi kelemahan sistem Dinar Emas ini.

21. Bank Negara Malaysia pernah runding dengan sebuah negara lain dan penggunaan Dinar Emas memang boleh dilaksanakan. Tetapi entah kenapa Bank Negara Malaysia tidak dapat menjayakan sistem ini.