Wednesday, August 18, 2010

Sekitar Pelancaran DINAR dan DIRHAM di Kelantan

JUALAN DINAR DAN DIRHAM KELANTAN DAPAT SAMBUTAN



KOTA BHARU 18 Ogos – Hari pertama dinar emas dan dirham dibuka untuk jualan menyaksikan rakyat Kelantan memenuhi Pusat Pajak Gadai Islam Ar-Rahn di sini bagi mendapatkan mata wang yang diperkenalkan kerajaan negeri itu.

Tinjauan mendapati rata-rata pembeli berhasrat menjadikan dinar dan dirham itu sebagai hiasan diri seperti loket untuk disimpan sebagai koleksi peribadi.

Seorang pembeli, Zainun Che Aziz, 60, berkata, pengeluaran dinar itu adalah trend terbaru emas di pasaran yang perlu dibeli dan harus dimiliki.

“Emas ni ikut musim, macam-macam bentuk dan saiz emas keluar di pasaran dan bila keluar emas dinar ini saya rasa mesti beli kerana ia unik dan saya mahu membuat loket untuk diberi kepada cucu saya. Kalau tidak beli rugilah mana tahu tiba-tiba ia tidak dijual lagi,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Pengurus Operasi Ar-Rahn Kota Baharu 2, Siti Azian Ibrahim berkata, sebanyak 344 keping dirham serta 50 keping dinar dibuka untuk jualan hari ini.

“Melihat situasi sebelum ini pada mulanya kita tidak menjangkakan jualan dinar akan mendapat sambutan kerana ramai yang tidak bersetuju dengan penggunaannya dalam urusan seharian.

“Tetapi pembukaan jualan mata wang berkenaan di Ar-Rahn hari ini melihat sesuatu yang berbeza apabila rakyat tetap berminat membelinya dan kebanyakan pelanggan berkata mereka mahu menjadikan dinar itu sebagai perhiasan diri seperti loket dan gelang,” katanya.

Siti Azian berkata, bagi dinar, terdapat lima saiz yang dijual dengan harga berbeza setiap hari mengikut nilai emas semasa dan hari ini harga bagi setengah dinar ialah RM296, satu dinar (RM592), dua dinar (RM1,184), lima dinar (RM2,960) dan lapan dinar (RM4,736).

“Manakala bagi nilai dirham pula ialah satu dirham bernilai RM13, dua dirham (RM26), lima dirham (RM65), 10 dirham (RM130) dan 20 dirham (RM260),” katanya. – Bernama


P/S Bertuahnya rakyat Kelantan.........